DERMA ANDA BOLEH DI MASUKKAN DALAM AKAUN BERIKUT:
BERKATILAH UMUR DENGAN 4 PERKARA
Seandainya kita diberi umur untuk hidup oleh
Allah hingga 50 tahun apakah yang akan kita lakukan untuk memanfaatkan umur
tersebut? Andaikan umur kita saat ini sudah 45 tahun, maka baki umur yang
tersisa ada 5 tahun lagi, jika hari ini kita telah pun berumur 49 tahun,
bererti sisa umur kita ada 1 tahun lagi. 1 tahun itu adalah waktu yang sangat
singkat, tidak terasa detik demi detik, malah minggu demi minggu lalu setahun
itu telah pun berlalu, tidak terasa ajal sudah di depan mata, jadi bagaimanakah
persiapan kita menjelang kehidupan hakiki yang penuh berkat?
Oleh yang demikian, Rasulullah SAW telah
meninggalkan satu pesanan yang amat berharga buat kita semua sebagai umatnya.
Baginda telah bersabda: “Memberi sedekah, menyuruh pada kebaikan, berbakti
kepada ibu bapa dan silaturahim dapat mengubah penderitaan menjadi kebahagiaan,
menambah berkat umur dan menolak kejahatan.” (Hadis riwayat Abu Naim).
Dengan ini, empat perkara di atas sangat perlu
dititikberatkan oleh kita semua sebagai umat Islam dalam meraih keberkatan
hidup dan keredhaan Allah demi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Maka
seharusnya kita jadikan elemen tersebut sebagai “the way of life”.
Perkara pertama yang disentuh oleh Rasulullah
S.A.W ialah bersedekah. Semua orang mampu bersedekah kerana pemahaman sedekah
itu tidak hanya berupa bentuk fizikal seperti wang ringgit atau harta benda
semata-mata. Hatta yang tidak berharta pun masih mampu bersedekah, iaitu dengan
menggunakan tenaga kudrat fizikal tubuh badan untuk membantu orang lain. Apatah
lagi seandainya kita dianugerahkan Allah dengan kemewahan dan sudah pasti lebih
mudah untuk mengamalkan apa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW itu.
Abu Hurairah pernah memberitahu bahawa Rasulullah
SAW ada ditanyakan:
“Wahai Rasulullah SAW, sedekah apakah yang paling mulia?
lalu Baginda menjawab: “sedekah orang yang tidak mampu dan mulakanlah (memberi
sedekah) pada orang yang banyak tanggungannya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan
Abu Daud).
Sabda Rasulullah ini adalah satu penghargaan
besar kepada golongan kurang berkemampuan yang masih bersemangat menghulurkan
sedaya upayanya memberikan sedekah kepada orang lain. Inilah keindahan dalam
Islam kerana sikap saling membantu dititikberatkan dalam membina masyarakat.
Melalui budaya bersedekah itu akan membentuk
landskap masyarakat penyayang dan prihatin. Perasaan kebersamaan dan semangat
kekitaan pasti wujud kukuh dan berakar umbi teguh dalam masyarakat yang saling
membantu melalui pemberian sedekah.
Perkara kedua yang disarankan Baginda SAW ialah
bersikap sentiasa menyuruh ke arah kemanfaatan dan kebaikan. Skop menyuruh
kepada kebaikan sebenarnya tidak hanya terhad kepada da’ie atau pendakwah saja
malah semua mukmin mesti berasa terpanggil untuk bersama-sama mengajak insan
lain kepada kebaikan. Menyuruh kepada kebaikan juga bermakna kita melaksanakan
seruan ke jalan Allah.
Atas
sebab pentingnya aspek ini, Saidina Ali bin Abi Talib turut mewasiatkan kepada
kita berbuat demikian. Kata beliau: “Serulah manusia ke jalan Allah (amar
makruf) dan cegahlah mereka daripada kemungkaran (nahi mungkar)
kerana apabila kedua-dua perkara ini ditinggalkan, maka tunggulah kebinasaan
umat ini.”
Jadi, apa saja kesempatan hidup seharusnya kita
menggunakannya dengan mengamalkan satu gaya hidup yang saling menasihati ke
arah kebaikan. Tidaklah wajar dalam sebuah masyarakat Muslim untuk saling
menutup mata seandainya melihat adanya sesuatu yang mungkar.
Seterusnya PERKARA KETIGA, aspek berbakti kepada kedua-dua ibu
bapa juga diberitahu oleh Rasulullah SAW sebagai elemen yang akan memancarkan
keberkatan kepada umur dan kehidupan kita. Senario semasa jelas masih banyak
yang tergamak mengabaikan perkara ini dan tidak menganggapnya sebagai penting
untuk dihayati.
Sesungguhnya persoalan mengabaikan aspek
memelihara dan berbakti kepada ibu bapa akan mengundang laknat Allah dan
pastinya seksa maha pedih menanti anak yang derhaka itu. Seseorang anak yang
derhaka dan mengabaikan tanggungjawabnya kepada ibu bapa tidak mungkin
memperoleh keberkatan dalam apa saja di atas dunia ini, apatah lagi di akhirat
kelak.
Allah mengingatkan kita yang bermaksud:
“Sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan
berbuat ihsanlah (berbuat baik) kepada kedua-dua ibu bapa.” (Surah An-Nisa;
ayat 36). Ini perintah Allah dan sesiapa ingkar mematuhinya bermakna melakukan
satu dosa besar di sisi-Nya.
Perkara keempat memanfaatkan umur dan
memberikan kebahagiaan kehidupan kita dengan sentiasa memelihara hubungan
sesama insan sama ada dengan ibu bapa, kaum kerabat, jiran tetangga dan juga
sesama ummah. Pesan Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang ingin murah rezeki
dan panjang umurnya, hendaklah dia menyambung hubungan dengan saudaranya
(silaturahim). (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Namun, senario hari ini jelas
menunjukkan fenomena bertegang leher dan berpisah-pisah sudah semakin menebal
dalam masyarakat.
Justeru itu marilah kita sama-sama memanfaatkan
nikmat umur, kerana kita tidak tahu di mana dan bilakah penghujung kepada
kehidupan ini. Sementara Allah masih memberi peluang untuk kita terus hidup,
maka manfaatkanlah ia dengan sebaik-baiknya dan bersegeralah untuk melakukan
kebaikan, kerana kita tidak tahu apakah masih ada lagi hari esok untuk kita?
Jika di dunia kita manfaatkan maka bahagia menunggu kita di akhirat kelak.